MELAKA: Seorang pelajar perubatan tahun akhir nyaris maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kondominium di Jalan Tun Perak di sini pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.42 malam itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah pada otak dan tengkorak akibat hentakan selepas jatuh di beranda luar tingkat lima bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan maklumat awal daripada rakan serumah, sebelum kejadian mangsa dipercayai keluar dari bilik air dalam keadaan bogel dan terus meluru ke arah pintu sebelum terjun dari tingkat tujuh.
Menurutnya, rakan serumah turut memaklumkan bahawa mangsa pernah mengalami masalah kesihatan mental dan sering mengadu terdengar bisikan.
“Mangsa yang beralamat di Shah Alam, Selangor merupakan pelajar di sebuah institut pengajian tinggi di negeri ini dan dijangka menamatkan pengajian dalam bidang perubatan tahun hadapan.
“Malah, ini adalah kali kedua dia dipercayai cuba mencederakan diri selepas kejadian pertama di Muar tahun lalu apabila terjun dari tingkat empat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka untuk melakukan kerja-kerja menyelamat sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Setakat ini, siasatan mendapati tiada unsur buli. Malah, pelajar terbabit disifatkan seorang yang baik, suka membantu rakan-rakan dan tidak menunjukkan sebarang masalah besar,” katanya lagi. – Sinar Harian