Mahkamah dan Jenayah

Polis Kelantan rampas dadah RM6.4 juta


KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas 200 kilogram (kg) dipercayai dadah jenis syabu bernilai RM6.4 juta selepas mengejar sebuah kenderaan sejauh 15 kilometer (km) di Tumpat, Ahad lalu.

Rampasan dadah yang dilakukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8.30 malam itu selepas menyedari kenderaan terbabit yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika di Kampung Nibong.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pasukan mula mengekori kenderaan jenis Pajero itu selepas ia merempuh penghadang di sekat pintas PGA.

“Bagaimanapun sebaik tiba di Chabang Empat, Pajero berkenaan berhenti susulan tayar pancit, sebelum dua lelaki melarikan diri ke dalam kawasan kampung.


“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan menemui 200 bungkusan mengandungi 200kg dadah dipercayai syabu bernilai RM6.4 juta.

“Pada masa sama kita turut menemui satu telefon bimbit milik salah seorang suspek, yang mana semakan terhadapnya mendapati suspek sempat menghantar mesej kepada isterinya supaya melarikan diri dan memaklumkan polis akan mencarinya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

MOHD Yusoff (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Yusoff berkata, semakan terhadap kenderaan itu mendapati Pajero milik seorang lelaki dari Tumpat berusia 39 tahun yang turut berada di dalam kenderaan ketika kejadian.

“Kita sudah mengambil keterangan isteri suspek dan kini memburu suspek dikenali sebagai Faizal dari Kampung Bendang Pok Yong dan rakannya berusia 30-an.

“Bekalan dadah ini juga dipercayai milik Faizal, yang diperoleh dari negara jiran dan boleh digunakan seramai dua juta penagih sekiranya terlepas,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Harian Metro

Related Posts