Mahkamah dan Jenayah Negeri

Dadah dibawa masuk Kelantan mungkin disumbat dalam dubur lembu, kambing – Polis

KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan kegiatan pengedaran dadah di Kelantan menggunakan lembu dan kambing dengan bekalan dadah itu disumbat dalam dubur haiwan ruminan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff, berkata ia berdasarkan maklumat awal yang diperoleh pihaknya dan situasi itu berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, kemungkinan dadah dimasukkan dalam dubur lembu atau kambing ini membabitkan kemasukan binatang secara sah.

“Saya mendapat maklumat lembu yang dibawa masuk dari Thailand akan dikuarantin selama dua minggu dan pemilik lembu berkenaan sepatutnya bertanggungjawab memberi makanan kepada binatang itu.

“Namun sebaliknya yang berlaku apabila pemilik tidak memberi makan kepada lembu atau kambing berkenaan, mungkin mereka tidak mahu binatang itu berak dan mengeluarkan bahan terlarang seperti dadah.

“Jadi berdasarkan situasi itu, kita tidak menolak kemungkinan bekalan dadah disumbat dalam dubur binatang itu namun siasatan lanjut sedang dijalankan memandangkan setakat ini kita belum mendapat kes berkaitan dadah dalam badan binatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, maklumat itu diperoleh sejak beberapa bulan lalu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan pemilik lembu berkenaan turut mendalangi kegiatan dadah, bukannya hanya menjadi orang tengah.

“Justeru kita akan meningkatkan risikan dan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar berhubung kemungkinan taktik ini digunakan supaya dapat melakukan pencegahan dari awal,” katanya.

Jelasnya, bagi kegiatan penyeludupan lembu pula pihaknya mengesan kegiatan itu banyak di lakukan di sekitar sempadan Pasir Mas menghala Tanah Merah.

Katanya, ia disebabkan Sungai Golok di kawasan itu lebih cetek dan kelebaran yang lebih sempit memudahkan pergerakan binatang itu.

“Namun saya tegaskan kita tidak sesekali memberi ruang kepada kegiatan penyeludupan dan pihak kami sentiasa mempertingkatkan kawalan,” katanya. – Berita Harian

Related Posts