KUALA TERENGGANU, 20 Julai (Bernama) — Sambutan menggalakkan terhadap Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur membuktikan bidang sains semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila program itu mencatat rekod kehadiran tertinggi sejak diperkenalkan.
Program selama tiga hari yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) itu berjaya menarik 20,419 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 pengunjung.
Hari terakhir program merekodkan kehadiran tertinggi iaitu 8,396 pengunjung, diikuti 6,886 pengunjung pada hari pertama dan 5,137 pengunjung pada hari kedua.

Jumlah kehadiran itu menunjukkan peningkatan kira-kira 68 peratus berbanding edisi terdahulu yang merekodkan 12,185 pengunjung, sekali gus mencerminkan peningkatan minat masyarakat terhadap program berteraskan sains, teknologi dan inovasi.
Sebahagian besar pengunjung terdiri daripada komuniti luar bandar termasuk pelajar sekolah, golongan belia dan keluarga, sekali gus memperlihatkan keberkesanan usaha mendekatkan bidang sains kepada masyarakat secara lebih inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata kejayaan itu membuktikan pendekatan yang lebih interaktif serta mesra komuniti berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Pencapaian ini menunjukkan usaha memperluaskan akses kepada bidang sains semakin membuahkan hasil. Sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan awal dan memberi petanda positif terhadap minat masyarakat untuk mendekati sains,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian pengisian program seperti pameran interaktif, demonstrasi sains serta sesi perkongsian bersama pakar dan ahli akademik menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada sambutan memberangsangkan itu.

Menurutnya, penglibatan 35 agensi termasuk kementerian, jabatan kerajaan dan Pusat Sains Negara turut memperkukuh penganjuran program berkenaan, di samping menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.
Beliau berkata penganjuran Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur turut mengukuhkan kedudukan Kuala Terengganu sebagai antara hab aktiviti sains dan inovasi di Pantai Timur, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkasa budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat. – Suara Timur
