KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menuntut komitmen penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang didakwa masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, isu LPT3 telah berulang kali disuarakan oleh wakil rakyat Terengganu dan Kelantan, namun sehingga kini projek berkenaan masih belum menunjukkan perkembangan positif.
“Projek LPT3 adalah isu yang sering disuarakan oleh Ahli-ahli Parlimen Terengganu dan Kelantan namun sehingga kini masih dipandang sepi oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kita mengharapkan LPT3 akan mendapat perhatian dan komitmen yang sewajarnya demi kemaslahatan 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan,” katanya menerusi hantaran di laman sosialnya, semalam.
Dalam ucapan perbahasan Belanjawan Malaysia 2026 di Dewan Rakyat, Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa pelaksanaan LPT3 wajar diberikan keutamaan selepas melalui tempoh penangguhan terlalu lama.
Menurutnya, LPT3 yang diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion berikutan beberapa kali penangguhan.
“Walaupun kajian awal telah siap pada Ogos 2022, projek ini masih tidak disenaraikan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026.
“Berdasarkan jawapan Menteri pada sidang lalu, projek ini masih di peringkat penyediaan dokumen Request for Proposal (RFP) walaupun sudah sekian lama dibangkitkan. Sedangkan manfaatnya akan dirasai oleh lebih 3.14 juta penduduk di dua negeri,” katanya. – Sinar Harian