HULU TERENGGANU: Pengorbanan seorang warga emas yang cekal mencari rezeki dengan mengendalikan bot pelancong di Tasik Kenyir sejak hampir tiga dekad lalu menarik perhatian apabila masih gagah mengemudi bot pada usia 73 tahun.
T Embat T Ngah atau lebih mesra digelar Mok Ku dalam kalangan pengusaha bot di tasik berkenaan berkata, dia mula membawa bot selepas suaminya, Abdul Rahman Putih meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1997.
Katanya, dia ketika itu membesarkan enam anak di mana anak bongsunya baru berusia tiga tahun manakala anak sulung berusia 19 tahun.
“Masa mula bawa bot ini memang rasa tak yakin dan takut. Tapi takut atau tak, saya terpaksa juga cari duit. Kalau kerja makan gaji, sebulan baru dapat. Kalau bawa bot, hari ini cari hari ini dapat (duit).
“Mujurlah ketika mula bawa bot dulu ada orang sewa bot ini dan saya terima upah dalam RM400 sehari untuk bawa barang ke kawasan pembinaan di Pulau Poh,” katanya ketika ditemui di Tasik Kenyir, di sini.
Jelasnya, arwah suaminya sebelum ini mencari rezeki untuk mereka sekeluarga dengan perkhidmatan mengendalikan bot pelancong sepenuh masa.
“Takdir menentukan suami saya meninggal dunia. Mula-mula dulu rasa memang susah sebab saya tak ada pengalaman bawa bot. Nak hidupkan bot enjin 40 kuasa kuda pun susah sebab kena tarik tali sekuat hati.
“Dalam dua, tiga bulan juga saya belajar bawa bot dengan ikut orang bawa penumpang ke kawasan-kawasan menarik di Tasik Kenyir. Sejak itu saya belajar kendalikan bot sendiri,” ujarnya.
Nenek kepada tujuh cucu itu berkata, pengalaman membawa bot selama hampir tiga dekad meninggalkan pengalaman yang perit.
“Saya masih tak dapat lupakan pengalaman pahit masa mula-mula bawa bot dulu. Masa itu saya menangis dalam perjalanan bawa pelancong sebab bot saya dibadai ribut dan air beralun kuat.
“Masa itu saya bawa lima pelancong dari Air Terjun Lasir ke kawasan empangan pada 2004. Dalam keadaan menangis tu, saya tetap teruskan bawa bot,“ katanya.
Biarpun berdepan pelbagai cabaran sebagai ibu tunggal, Mok Ku bersyukur apabila pekerjaan itu membolehkannya melangsaikan pinjaman RM4,000 dibuat arwah suaminya dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA). – Sinar Harian
