Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan yang menderita mengidap penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru memerlukan kos kira-kira RM40,000 untuk menjalani pembedahan pada Oktober depan.
Ibu bayi itu, Nur Shahira Ashiqin Nasrudin, 31, dari Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, di sini, berkata, anaknya, Muhammad Yusuf Rizqi Mohd Kharil Izuan, mengidap penyakit jantung serius sejak dari lahir.
Menurutnya, dia dan suaminya, Mohd Kharil Izuan Rasid, 32, buntu untuk mencari sumber kewangan memandangkan mereka telah kehabisan wang simpanan yang digunakan bagi menampung kos rawatan dan perjalanan untuk rawatan anaknya di Kuala Lumpur, sejak tahun lalu.
“Sejak lahir, anak saya ada masalah jantung berlubang dan saluran darah pada paru-paru terbalik.
“Sebelum ini dia pernah menjalani empat kali pembedahan termasuk pembedahan untuk memasang alatan pada jantung dan paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN) pada November tahun lalu, namun untuk pembedahan itu saya menerima subsidi kerajaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Ibu kepada enam anak itu berkata, pada pertengahan Oktober depan, Muhammad Yusuf Rizqi sekali lagi dijadualkan menjalani pembedahan bagi membuka ikatan di paru-paru dan menutup lubang di jantung.
“Kami dah buntu untuk mencari duit untuk tampung kos pembedahan anak. Wang simpanan semua dah habis dan kami sebelum ini pernah jual motosikal dan kereta semata-mata untuk dapatkan duit untuk tanggung rawatan anak.
“Kos pembedahan anak pada Oktober uni sebanyak RM85,000. Suami saya polis bantuan Felda, dia turut memohon bantuan untuk kelulusan jaminan (GL) sebanyak RM45,000 di syarikatnya dan namun GL hanya diluluskan apabila anak sudah didaftarkan masuk hospital.
“Sekarang ini kami memerlukan RM40,000 untuk pembedahan anak, kami sangat berharap orang ramai dapat bantu sebab kalau tak ada bantuan, mungkin anak kami tak dapat nak jalani pembedahan,” katanya.
Nur Shahira Ashiqin berkata, dia dan suaminya juga bimbang dengan keadaan anak mereka yang cepat penat dan tidak boleh aktif seperti bayi lain.
“Muhammad Yusuf juga perlu sentiasa diperhatikan kerana dia mudah semput dan tercungap-cungap apabila merangkak dan bermain. Kami bimbang kalau-kalau berlaku perkara tak diingini,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat baru sahaja meluluskan permohonan untuk sakit kronik anaknya yang bernilai RM500 sebulan dan akan disalurkan bermula bulan depan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank Mohd Khairil Izuan Rasid iaitu 163019626682 atau menghubungi Nur Shahira di talian 019-8180268. – Suara Timur