KUALA TERENGGANU: Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah lebih awal dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko gempa bumi melalui penganjuran ‘Sciences Journey Carnival STI Madani’ di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, program ini membuktikan komitmen PSKT sebagai pemegang taruh dalam pendidikan Sains yang secara langsung atau tidak untuk turut sama berkait dengan kesiapsiagaan bencana.
“Melihat pada kenyataan terkini minggu ini, PSKT sebagai pemegang taruh sama ada secara terus atau tidak bagi pendidikan sains, teknologi mahupun inovasi berada di landasan tepat untuk memberi pendedahan awal pendidikan risiko bencana kepada rakyat negeri Terengganu melalui penganjuran karnival sains yang telah melabuhkan tirai di Hulu Dungun pada hujung minggu lalu.
“Jalinan strategik bersama lain-lain pemegang taruh dari agensi berkaitan kerajaan dan pemain-pemain industri seperti Petronas dan KETENGAH untuk turut berkongsi pengetahuan mahupun kepakaran dengan masyarakat luar bandar menjadi tambah nilai besar bagi program itu yang tidak hanya menyasarkan kehadiran oleh pelajar-pelajar sekolah malah penduduk setempat.

“Melalui slot bual bicara ‘Gempa Bumi dan Keselamatan Diri’ yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia(MET Malaysia) ketika itu kini dilihat tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan terkini ini,” katanya.
Menambah menarik, slot bual bicara itu disampaikan sendiri oleh individu yang sepatutnya iaitu Ahmad Rifaie Ahmad Ridzuan yang menjawat sebagai penolong pengarah bahagian teknikal gempa bumi dan tsunami MET Malaysia.

“Dengan adanya program-program merakyatkan aktiviti yang ada hari ini, ya kita akan dapat mempelajari sesuatu dari saya dan saya mempelajari sesuatu dari orang awam khususnya masyarakat setempat.
“Hasil maklum balas yang diterima di sini adalah positif di mana mereka dapat memberi respons yang bagi setiap soalan dari sana di mana penduduk warga Dungun ini cakna dengan apa yang terjadi di sekitar mereka termasuk insiden gempa bumi di Segamat baru-baru ini.

“Melalui program bual bicara ini memberi pentas untuk komunikasi dua hala secara terus kepada audiens bagi setiap persoalan mahupun perkongsian pendapat. Ini memberi satu penanda aras awal kecaknaan masyarakat setempat dan seharusnya program sebegini sentiasa diadakan juga di lain-lain kawasan,” ujar Ahmad Rifaie Ahmad Ridzuan yang pertama kali menerima jemputan untuk perkongsian kepakarannya bersama masyarakat di Terengganu ini.
Pada penganjuran karnival sains yang memanfaatkan sepenuhnya geran STI Madani dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), turut hadir selaku rakan strategik adalah Petronas melalui Petrosains dan KETENGAH yang merupakan institusi pentadbiran bagi masyarakat luar bandar di Hulu Dungun ini.
Selain pameran dan aktiviti berkaitan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang telah berlangsung di dalam dewan utama, turut berlangsung di pekarangan dewan adalah sukaneka, pertunjukkan silap mata, cerapan langit, pameran dan perkhidmatan dari pelbagai agensi dan pelbagai lagi yang turut menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai latar belakang. – Suara Timur