GERIK – Pemilik syarikat bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas tragis meragut 15 nyawa di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli dekat Gerik, Isnin lalu telah dirakam keterangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah dipanggil bagi membantu siasatan.
“Individu tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada jam 10.30 malam tadi (Rabu).
“Kita mengambil masa sekitar satu jam 30 minit untuk diambil keterangannya,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Media pada Rabu melaporkan dua kesalahan besar dilakukan oleh syarikat pengendali bas terlibat menyebabkan permit syarikat berkenaan dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat yang beralamat di Kedah itu didapati memajak permit bas kepada pihak ketiga di Kelantan dengan bayaran RM500 sebulan.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera. – Sinar Harian