PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menyalurkan wang pendahuluan Kadar Khas Inisiatif Pembajakan sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut melibatkan implikasi kewangan RM48 juta dan memberi manfaat kepada 240,000 pesawah berdaftar.
“Dalam mesyuarat tadi, Majlis Tindakan Ekonomi Negara Malaysia bersetuju untuk membayar wang pendahuluan, kerana mereka (pesawah) terpaksa menyewa mesin bajak.
“Aktiviti pembajakan itu mesti diteruskan juga, tetapi mereka perlukan modal. Jadi kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” katanya pada sidang media berkaitan krisis bekalan global di Bangunan Perdana Putra, Selasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan prihatin terhadap keluhan pesawah dan Bantuan Khas Insentif Pembajakan itu telah diumumkan oleh Menteri Pertanian dan keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu pada 14 April lalu.
“Bantuan itu ditingkatkan dari RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah ekoran daripada kenaikan harga diesel komersial,” katanya.
Tambah Anwar, musim kemarau yang lebih panjang daripada biasa di utara Semenanjung termasuk Kedah telah menjejaskan aktiviti penanaman padi di kawasan berkenaan.
“Kerajaan telah mengarahkan pembenihan awan ditingkatkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam beberapa hari ini,” katanya. – Sinar
