Nasional

Pelan pemulihan runtuhan tebing Sungai Kelantan dirangka

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merangka pelan tindakan pemulihan hakisan tebing Sungai Sungai Kelantan sepanjang kira-kira 70 meter di belakang kondominium Pelangi Mall pada Isnin.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin memaklumkan, lawatan di lokasi telah dilakukan oleh agensi berkenan untuk menilai dan melihat situasi terkini.

“Agensi-agensi lain seperti PBT (pihak berkuasa tempatan) dan PTG (Pejabat Tanah dan Galian) juga akan terlibat dalam usaha tindakan susulan,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan langkah pemulihan dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan.

Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak menghampiri laluan berkenaan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pemulihan selesai.

Turut runtuh, konkrit laluan pejalan kaki di tebing berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui peniaga di kawasan berkenaan dan memasang pita garisan kuning bagi melarang orang ramai memasuki kawasan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tebing Sungai Kelantan sepanjang kira-kira 70 meter di belakang kondominium Pelangi Mall berdekatan kafe JL Fara di Jalan Pasar Lama, di sini, runtuh pada Isnin.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari disedari oleh pekerja kafe berkenaan yang mendengar bunyi pokok tumbang.

Kredit: Sinar Harian

Related Posts