Home NasionalKrisis Asia Barat: Jangan terburu keluarkan simpanan bank

Krisis Asia Barat: Jangan terburu keluarkan simpanan bank

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Ketegangan yang berlaku di Asia Barat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat global, termasuk di Malaysia.

Bagaimanapun, pakar ekonomi menegaskan tindakan panik, khususnya pengeluaran tunai secara besar-besaran, boleh memberi kesan lebih buruk berbanding risiko sebenar terhadap sistem kewangan negara.

Ketua Program Sarjana Muda Kewangan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, fenomena yang dikenali sebagai “bank run” merujuk kepada situasi di mana orang ramai mengeluarkan simpanan mereka serentak kerana bimbang terhadap kestabilan institusi kewangan.

Beliau berkata, walaupun kebimbangan ini sering berpunca daripada konflik geopolitik, sistem perbankan Malaysia kekal kukuh dan stabil.

banner

“Malaysia mempunyai struktur kawal selia yang mantap di bawah Bank Negara Malaysia (BNM), yang sentiasa memantau tahap kecairan serta kesihatan institusi perbankan. Simpanan pendeposit juga dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), yang menyediakan jaminan perlindungan sekiranya berlaku kegagalan institusi kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Siti Nurain berkata, konflik di Asia Barat mungkin memberi kesan tidak langsung seperti kenaikan harga minyak global dan tekanan inflasi, namun kesan tersebut biasanya bersifat sementara dan terkawal.

Malah, katanya, sebagai negara pengeksport minyak, Malaysia berpotensi mendapat manfaat tertentu daripada kenaikan harga komoditi itu.

“Yang lebih membimbangkan adalah kesan psikologi terhadap masyarakat. Penyebaran maklumat tidak tepat atau sensasi di media sosial boleh meningkatkan ketakutan awam, mendorong tindakan tidak rasional seperti menyimpan tunai berlebihan di rumah.

“Tindakan ini bukan sahaja berisiko kepada keselamatan individu, malah boleh mengganggu kestabilan sistem kewangan jika berlaku secara meluas,” katanya.

Beliau menambah, dari perspektif perbankan Islam, tindakan panik yang tidak berasaskan fakta bercanggah dengan prinsip kestabilan (maslahah) dan boleh menimbulkan ketidakpastian (gharar) dalam sistem ekonomi.

Dr. Siti Nurain menasihatkan orang awam supaya bertenang dan menilai maklumat secara kritikal. Masyarakat disarankan merujuk kenyataan rasmi BNM dan laporan media berwibawa bagi mengelak terpengaruh dengan khabar angin.

Beliau turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan peribadi yang bijak, termasuk memastikan kecukupan dana kecemasan, mengawal perbelanjaan harian, serta mengurangkan pembelian atau pinjaman tidak kritikal.

Tambahnya, langkah ini bukan sahaja membantu menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup, malah menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara.

“Dalam situasi ketidaktentuan global, masyarakat perlu kekal tenang dan membuat keputusan kewangan secara rasional. Tindakan panik seperti pengeluaran tunai berlebihan bukan sahaja tidak perlu, malah boleh menjejaskan kestabilan sistem secara keseluruhan,” katanya. – Suara Timur

Tinggalkan komen