KEMAMAN: Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air bersih ke rumah-rumah pengguna di seluruh negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, kerugian ekoran kehilangan air terawat tidak terhasil (NRW) itu tidak dapat dielak kerana ianya berpunca daripada masalah paip lama yang bocor.
Menurutnya, pihak SATU terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi melakukan penyelenggaraan dan penggantian paip-paip lama berkenaan.

Katanya, masalah berkenaan dilihat berlaku lebih serius apabila lebih banyak air disalurkan melalui sistem rangkaian paip tersebut maka akan lebih banyak risiko kebocoran akan berlaku.
“Kadar NRW tahun ini telah meningkat sedikit kepada 42 peratus berbanding kira-kira 41 peratus tahun lalu dan pihak SATU sedang berusaha untuk mengurangkan kadar itu,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Sah, Kemaman, Terengganu hari ini yang dirasmikan EXCO Terengganu, Datuk Hanafiah Mat.
Selain itu beliau, rekod penggunaan bekalan air terawat dalam kalangan pengguna domestik di Terengganu ialah 288.26 juta liter sehari atau 61.95 peratus manakala pengguna komersial dan industri pula
mencatatkan 177.06 juta liter sehari atau 38.05 peratus setakat April tahun ini.
“Di seluruh Terengganu, SATU menguruskan 15 buah LRA dan secara purata setiap hari loji-loji berkenaan mampu merawat dan membekalkan 1,031 juta liter sehari.
“Daripada jumlah yang besar ini, kita
masih mempunyai lebihan simpanan kecemasan bekalan air pada paras yang stabil iaitu 22.5 peratus,” katanya. – Suara Timur
