Oleh MUKHATAR A RAHMAN
DUNGUN: Tahanan reman terhadap seorang lelaki yang disyaki mendera anak tirinya berusia lima tahun di Kampung Besol Baru, Bukit Besi di sini disambung empat hari bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan Mahkamah Majistret pagi ini selepas tempoh reman lepas berakhir hari ini.
Menurutnya, mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman selama empat hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan lelaki berkenaan berusia 36 tahun yang bekerja pemotong kayu pada 10 Mei lalu bagi membantu siasatan setelah terdapat kesan melecur pada jari tangan anak tiri lelakinya dipercayai dibakar suspek menggunakan pemetik api disebabkan nakal pada April lepas.
Ibu mangsa yang berkahwin dengan suspek tiga tahun lalu memaklumkan pada 3 Mei lalu, salah seorang ahli keluarganya turut memberitahu pernah dimaklumkan mangsa yang suspek pernah mencekik leher dan memijak perut mangsa namun tiada saksi melihat kejadian itu.
Suspek ditahan selepas ibu kandung mangsa berusia 30 tahun membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Bukit Besi di sini pada 10 Mei.
Jumaidy berkata, setakat ini polis telah memanggil empat individu termasuk seorang kanak-kanak untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan kes penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak. – Suara Timur
