Mahkamah dan Jenayah

Penduduk Kampung Sungai Baru gagal tangguh kosongkan rumah

KUALA LUMPUR:  Seramai 23 penduduk rumah teres di Kampung Sungai Baru gagal dalam rayuannya pada Jumaat, untuk mengetepikan keputusan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menangguhkan perintah pengosongan kediaman, 15 Julai lalu.

Peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili penduduk itu berkata demikian selepas prosiding yang dibuat secara dalam kamar Hakim, Su Tiang Joo.

Rosal berkata, mahkamah mendapati pelaksanaan pengosongan atau pengungsian kawasan yang menjadi pertikaian, telah pun dijalankan.

Beliau berkata, penduduk diberikan peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju supaya dibenarkan masuk untuk mengambil barang-barang di kediaman tersebut.

“Rayuan penduduk ialah membabitkan writ pemilikan, antara lainnya berkenaan dengan arahan pengosongan, namun sebelum ini tidak dinyatakan langsung mengenai jentolak.

SEBAHAGIAN rumah flat di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur telah dirobohkan

“Mahkamah menolak permohonan kami dengan kos sebanyak RM10,000, namun setelah berbincang, kami akan merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam masa terdekat,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Azura Mokhtar.

Rosal berkata, rayuan akan difailkan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang, iaitu 30 hari.

Dalam notis rayuan terbabit, pemilik kediaman berkenaan merayu terhadap keputusan mahkamah yang mengeluarkan writ milikan kosong kepada KL City Gateway Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn Bhd) pada 4 Jun lalu dan pelaksanaan writ terbabit pada 15 Julai lalu.


Pada 11 September lalu, suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru, di sini, selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing. – Sinar Harian

Related Posts