Home SukanPiala Agong: Terengganu kekal kebal, kejutkan juara bertahan PDRM 26-25

Piala Agong: Terengganu kekal kebal, kejutkan juara bertahan PDRM 26-25

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Terengganu menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 26-25 di padang PULAPOL di sini, semalam.

Kemenangan dramatik itu sekali gus mengesahkan slot Terengganu ke peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung pada 13 Jun depan.

Dalam aksi sengit itu, skuad pelawat ketinggalan 13-15 pada separuh masa pertama sebelum bangkit pada babak kedua hasil perubahan taktikal dilakukan ketua jurulatih, Hafiizh Zainal.

Terengganu memulakan kebangkitan menerusi tendangan penalti pada minit ke-43 untuk meraih tiga mata dan kembali merapatkan kedudukan.

banner
AKSI pemain import Terengganu, Josevata Cava Uluinaceva (tengah) ketika bertemu PDRM pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 2026 di PULAPOL, Kuala Lumpur. – SUARA TIMUR/FAIZ AZIZAN

Bagaimanapun, PDRM kembali di hadapan 20-16 selepas menyempurnakan satu try lima minit kemudian.

Tidak patah semangat, Terengganu memperkemaskan rentak permainan dan mengambil kesempatan atas beberapa kealpaan tuan rumah untuk mengutip 10 mata seterusnya sekali gus mendahului 26-20.

PDRM yang tersentak dengan kedudukan itu cuba bangkit dan berjaya menghasilkan satu try pada minit ke-73 untuk merapatkan jurang kepada 26-25.

PEMAIN scrumhalf Terengganu, Mohamad Nasharuddin Ismail (memegang bola) antara watak penting untuk Terengganu melakar rekod tanpa kalah setelah menafikan PDRM berkeputusan 26-25 di padang PULAPOL,  Kuala Lumpur.  – SUARA TIMUR/FAIZ AZIZAN

Namun, pertahanan kental Terengganu berjaya mengekang asakan lewat tuan rumah pada baki permainan untuk memastikan kemenangan tipis itu memihak kepada mereka.

Hafiizh berkata kemenangan ke atas juara bertahan itu cukup bermakna buat pasukannya selepas melalui laluan mencabar sepanjang kempen peringkat kumpulan musim ini.

“Secara realistik, laluan Terengganu musim ini memang bukan mudah berbanding musim lalu. Setiap perlawanan kumpulan berlangsung sengit dengan jurang mata yang sangat tipis, lebih-lebih lagi hari ini menentang juara bertahan.

KETUA jurulatih Terengganu, Hafiiz Zainal.

“Namun kemenangan ini amat penting untuk kami mara ke suku akhir,” katanya.
Beliau berkata saingan suku akhir nanti bakal menjadi cabaran baharu buat Terengganu dan pasukan itu perlu menilai lawan yang bakal dihadapi sebelum merangka perancangan seterusnya.

“Peringkat suku akhir nanti adalah episod baharu buat Terengganu. Kami perlu menunggu semua perlawanan kumpulan tamat sebelum membuat perancangan seterusnya.

“Sebagai pasukan bukan pilihan musim ini, memang sukar untuk kami meletakkan sasaran awal kejuaraan,” katanya.

Dalam satu lagi aksi minggu ketiga kejohanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan Kedah 27-24 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Sementara itu, perlawanan antara Johor dan Negeri Sembilan di Stadium Pasir Gudang, Johor dijadual berlangsung petang ini. –  Suara Timur

Tinggalkan komen