Sukan

Kelantan KRW dapat surat FIFA – FAM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah menghantar surat rasmi untuk meminta penjelasan daripada kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warriors (Kelantan KRW) mengenai isu-isu berbangkit yang belum diselesaikan oleh pasukan terdahulu, Kelantan FC.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dengan salinan surat tunjuk sebab yang diberikan FIFA sudah dihantar kepada pengurusan Kelantan KRW pada Khamis lepas.

Kata Noor Azman, pengurusan pasukan kelab Pantai Timur itu diberi masa sehingga esok untuk memberikan maklum balas yang dituntut oleh badan induk bola sepak dunia itu.

“Memang kita ada dapat surat daripada FIFA mengenai Kelantan KRW dan kita sudah berikan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya.

“(Butiran terperinci) tidak boleh saya jelaskan tetapi isunya bukan mengenai tuntutan pemain sebaliknya ada kaitan dengan kelab terdahulu (Kelantan FC).

“Sekarang FIFA sudah kesan (sesuatu yang mencurigakan) dan mungkin (Kelantan KRW) ada sangkut paut dengan pasukan lama,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Sebagai rekod, Kelantan KRW telah ditubuhkan pada Disember tahun lalu oleh Nik Hafiz Naim Nik Hassan selaku pemilik kelab sehingga berjaya mendaftarkan pasukan untuk bersaing dalam kempen Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.

Namun, terdapat dakwaan bahawa Kelantan KRW hanya ‘menyalin kulit’ daripada Kelantan FC memandangkan status Nik Hafiz pernah terlibat dengan pengurusan pasukan yang terkenal dengan gelaran The Red Warriors itu.

Difahamkan, logo dan identiti kedua-dua pasukan juga hampir sama selain corak serta warna jersi yang mirip turut menjadi salah satu faktor FIFA menghantar surat penjelasan.

Kelantan FC dianggap sudah terkubur pada tahun lalu selepas tersingkir daripada Liga Super 2023 dan tidak layak beraksi pada saingan Liga A1 Semi-Pro musim lepas kerana dibelenggu bebanan hutang yang tinggi. – Kosmo

Related Posts