ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa sijil kelahiran datuk dan nenek pemain yang dikemukakan oleh FAM tidak sepadan dengan rekod rasmi negara asal masing-masing.
Hasil semakan silang bersama pihak berkuasa pendaftaran awam luar negara menunjukkan bahawa individu yang dinamakan sebagai datuk atau nenek pemain terbabit bukan dilahirkan di Malaysia seperti dinyatakan dalam dokumen diserahkan kepada FIFA.
Dalam Lampiran 13 laporan itu, FIFA menyenaraikan asal-usul sebenar keluarga tujuh pemain terbabit:
Nenek Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol.
Datuk Facundo Tomas Garces berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Julian Holgado dilahirkan di Buenos Aires, Argentina.
Nenek Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, Argentina.
Datuk Joao Vitor Brandao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
Datuk Jon Irazabal Iraurgui lahir di Viscaya, Sepanyol.
Datuk Hector Alejandro Hevel Serrano dilahirkan di The Hague, Belanda.
FIFA menjelaskan bahawa semua maklumat ini disahkan melalui semakan rasmi dan tiada bukti sahih menunjukkan kaitan langsung dengan Malaysia.
Laporan itu turut menyebut bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder yang diterima, bukan berpandukan rekod kelahiran asal.
Meskipun FAM dan pemain terbabit mendakwa semua dokumen diperoleh melalui saluran sah, FIFA menegaskan bahawa prinsip tanggungjawab mutlak terpakai – bermaksud kegagalan mengesahkan ketulenan dokumen tetap dikira sebagai kesalahan tatatertib, walaupun tanpa niat menipu.
Tujuh pemain berkenaan beraksi dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan, termasuk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, dengan dua daripada pemain berkenaan menjaringkan gol.
Berikutan pelanggaran itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.
FAM diberikan tempoh 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Keputusan ini sekali gus menjawab persoalan penyokong tempatan mengenai punca sebenar tindakan disiplin FIFA, yang sebelum ini menimbulkan tanda tanya memandangkan semua pemain warisan terbabit sudah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu. – Berita Harian