Home SukanRFC 2025: Fokus Terengganu tamatkan perlumbaan di belantara Gua Musang

RFC 2025: Fokus Terengganu tamatkan perlumbaan di belantara Gua Musang

oleh suara timur

GUA MUSANG: Momentum pasukan kerdil dari Terengganu, GG 4×4 yang mempertaruhkan ‘aliroba buruk’ Land Rover Defender Series 3 88 berusia hampir separuh abad masih kekal utuh untuk menghabiskan baki-baki perlumbaan Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang dijadulkan berakhir di Gua Musang, Kelantan pada Rabu ini.

Setelah menempuh lima hari perlumbaan sejak 2 Disember lalu untuk 24 peringkat cabaran (SS) di dalam hutan belantara, GG 4×4 hanya mencatatkan sekali sahaja ‘DNS’ setelah jentera mereka mengalami masalah teknikal untuk memulakan perlumbaan di SS 16 pada hari pertama perlumbaan di Gua Musang ini.

Land Rover Defender Series 3 88 berusia hampir separuh abad menjadi taruhan buat pasukan dari Terengganu, GG 4×4 untuk memburu kejuaraan Rainforest Challenge Grand Final 2025.

“Sepanjang perlumbaan yang masih berbaki beberapa lagi, hanya sekali untuk kami mengutip DNS pada hari pertama perlumbaan di Gua Musang ini disebabkan masalah teknikal. Satu rekod yang tidaklah mengembirakan kami namun masih boleh berpuas hati oleh kerana terdapat lain-lain pasukan yang mengalami masalah lebih teruk daripada kami untuk menamatkan perlumbaan.

AZILI SAFEEI

“Walaupun jentera lumba kami amat berusia namun sehingga kini masih tidak mengecewakan kami untuk hadir memberi cabaran kepada pasukan-pasukan yang lebih hebat dengan jentera yang lebih moden untuk memburu kejuaraan di sini.

banner
Pemandu pasukan GG 4×4, Tengku Khairul A Rahman setelah berjaya menamatkan peringkat perlumbaan SS24 Rainforest Challenge Grand Final 2025 di Gua Musang, Kelantan.

“Motivasi pasukan masih di tahap yang terbaik walaupun kadang kala diuji dengan situasi di luar jangka yang memaksa mekanik-mekanik berhempas pulas memperbaiki jentera dalam serba kekurangan. Melihat pada situasi semasa, kami mempunyai peluang untuk menaiki podium nanti,” ujar ujar Azili Safeei selaku pengurus pasukan yang berpangkalan dari Marang, Terengganu ini.

Tambahnya lagi, sehingga kini peluang masih sama rata buat setiap pasukan bertanding walaupun faktor cuaca bakal memberi cabaran berganda di dalam hutan belantara itu nanti.

PASUKAN sokongan teknikal GG 4×4 yang dibarisi oleh mekanik-mekanik muda berpengalaman besar menjadi tambah nilai buat pasukan yang mempertaruhkan jentera Land Rover Defender Series 3 88.

Selain pasukan-pasukan tempatan, turut hadir memberi cabaran adalah pasukan antarabangsa dari Rusia, Poland dan Latvia yang menghimpunkan keseluruhan 22 jentera pasukan.

RFC Grand Final 2025 yang dijadualkan melabuhkan tirai pada 10 Disember depan merupakan siri terakhir perlumbaan lasak jentera 4×4 bagi musim ini setelah berlangsung di beberapa negara benua sepanjang tahun ini. – Suara Timur

Tinggalkan komen