Sukan

Dua gol Careca gagal kekang The Cats ke separuh akhir

KUCHING: Dua jaringan Terengganu FC menerusi Raianderson da Costa Morais belum cukup untuk mengekang kemaraan Kuching City FC ke peringkat separuh akhir Piala FA 2025.

Meskipun mencatat kemenangan 2-1 ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Petra Jaya, malam ini, skuad Penyu begitupun terpaksa akur kepada tuan rumah dengan agregat 5-3.

Turun dengan misi menghidupkan peluang, pelawat membuka jaringan menerusi Da Costa atau lebih dikenali sebagai Careca pada minit ke-12 apabila rembatannya gagal dihalang Rodney Kelvin.

Bagaimanapun The Cats menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Ronald Ngah Wanja menerusi sepakan penalti selepas Jimmy Raymond dijatuhkan pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, giliran Ramadhan Saifullah menghukum pelawat untuk mendahului 2-1 pada minit ke-50 namun jaringan itu dibatalkan pengadil Muhd Fusser Mad Salih selepas membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mendapati pemain pertahanan Terengganu dikasari.

Serangan bertali arus anak buah Badrul Afzan Razali membuahkan hasil apabila Careca sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-93.

Ia selepas umpanan Akhyar Rashid terbias kaki Moses Atede sebelum disudahkan dengan sempurna Careca dari luar kotak penalti.

Walaupun keputusan memihak kepada Terengganu, namun Kuching City berjaya mara secara agregat ke separuh akhir untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT). – Berita Harian

Related Posts