Home SukanGG 4×4 raih podium antarabangsa RFC Grand Final 2025

GG 4×4 raih podium antarabangsa RFC Grand Final 2025

oleh suara timur

GUA MUSANG: Tempuhi 11 hari perlumbaan ‘off road’ Rainforest Challenge (RFC Grand Final 2025) yang berakhir di pendalaman Gua Musang, Kelantan, semalam, pasukam GG 4×4 membuktikan jentera berusia bukan halangan besar untuk meraih podium di pentas kejuaraan antarabangsa edisi ke-28 ini.

Walaupun hanya sekadar meraih di tempat ke-3 bagi kategori R3, pengurus pasukan GG 4×4, Azili Safeei tetap berpuas hati di atas kemampuan jentera Land Rover Defender Series 3 88 yang telah membantu pasukan untuk berentap dengan jentera-jentera lain yang lebih berkuasa termasuk jentera dari pasukan luar negara.

GANDINGAN Tengku Khairul A Rahman (kiri) bersama Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan GG 4×4 berjaya menamatkan 11 hari perlumbaan lasak Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3.

“Bukan mudah buat kami untuk menamatkan perlumbaan ini di mana kami juga turut berdepan dengan masalah mekanikal seawal hari pertama perlumbaan di Gua Musang yang menyebabkan kami ketinggalan untuk memungut mata perlumbaan sepenuhnya.

“Podium untuk tahun ini sudah cukup bagus walaupun di tempat ke-3 setelah berentap dengan pasukan dari Poland dan pencabar tempatan yang turut mempunyai reputasi tinggi.

banner
LAND Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad menjadi taruhan pasukan GG 4×4 yang berpangkalan dari Terengganu untuk mengungguli podium Rainforest Challenge Grand Final 2025 di tempat ke-3 bagi kategori R3 setelah menempuhi 11 hari perlumbaan yang berakhir di Gua Musang, Kelantan.

“Sekurang-kurangnya kami menamatkan kalendar perlumbaan musim ini dengan sesuatu yang boleh dibanggakan,” ujar Azili Safeei yang juga merupakan bekas pelumba RFC dalam beberapa edisi terdahulu.

Manakala bagi pemandu pasukan, Tengku Khairul A Rahman kekal optimis jentera berusia ini masih mampu untuk kembali beraksi pada edisi seterusnya di pentas kejuaraan antarabangsa ini.

“Realiti, kelajuaan bukan faktor utama menentukan siapa juara di pentas RFC ini. Pengalaman dan taktikal perlumbaan menjadi taruhan utama untuk terus mengejar podium seperti mana kami buktikan pada hari ini.

PENGURUS pasukan GG 4×4 Azili Safeei(dua dari kanan) bersama pasukan setelah menamatkan perlumbaan peringkat cabaran (SS) terakhir Rainforest Challenge Grand Final 2025 di Gua Musang, Kelantan.

“Begitu juga sokongan pasukan teknikal sama ada barisan mekanik yang berhempas pulas siang dan malam untuk membaiki jentera dan juga pengurusan pasukan yang menjadi penghubung kepada penaja-penaja musim ini yang konsisten membantu pasukan lumba ini,” katanya yang bergandingan bersama  Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili selaku juruarah pasukan yang berpangkalan dari Terengganu ini.

Untuk rekod, kategori R3 dijuarai oleh pasukan dari Poland yang dipacu oleh Rafal Stanislaw Osmolski bersama pemandu arah Kamil Mariusz Majerczyk. Manakala tempat kedua milik pasukan tempatan ‘Otai Racing Team’ yang dipandu oleh Kamarozaman Jusoh bersama juruarah Muhd Khairy Kamid yang mempunyai reputasi besar dalam arena sukan permotoran lasak ini.

JENTERA Land Rover Defender Series 3 88 yang berusia hampir separuh abad menjadi taruhan pasukan GG 4×4 pada Rainforest Challenge Grand Final 2025 di Gua Musang, Kelantan.

Russia mendominasi podium bagi kategori R1 setelah meraih di tempat pertama dan kedua manakala tempat ke-3 kategori ini berjaya dicuri oleh pasukan tempatan dari Sabah setelah menafikan dua lagi pasukan dari Russia yang berada di tempat ke-4 dan ke-5.

Bagi kategori R2, hanya dua buah pasukan bertanding di mana tempat pertama milik pasukan ‘107’ dari Johor dan Cameron 4×4 di tempat kedua.

Rainforest Grand Final 2025 edisi ke-28 kali ini yang bermula sejak 29 November lalu dari Sungai Buluh, Selangor dan berakhir di Gua Musang, Kelantan untuk 11 hari perlumbaan mempertaruhkan tiga kategori dipertandingkan iaitu R1(Prototype), R2 (Modified Production) dan R3(Production) yang disertai oleh tiga negara iaitu Russia, Poland dan Latvia menghimpunkan keseluruhan sebanyak 22 jentera lumba termasuk dari pasukan tempatan. – Suara Timur

Tinggalkan komen