LIVERPOOL: Liverpool bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membelasah Tottenham Hotspur 5-1 dan mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam tadi.
Memerlukan hanya satu mata untuk menyamai rekod 20 kejuaraan Liga Inggeris dengan empat perlawanan berbaki, Liverpool dikejutkan dengan jaringan Dominic Solanke pada minit ke-12.
Bagaimanapun Liverpool hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Luis Diaz, sebelum Alexis Mac Allister dan Cody Gakpo meletakkan tuan rumah 3-1 di depan menjelang rehat.

PEMAIN Liverpool, Luis Diaz menjaringkan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham di Anfield, Liverpool. – Foto REUTERS

PEMAIN Liverpool, Cody Gakpo menjaringkan gol ketiga ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham di Anfield, Liverpool. – Foto REUTERS
Babak kedua dikuasai sepenuhnya skuad kendalian Arne Slot dengan Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan enam perlawanan untuk gol keempat Liverpool pada minit ke-63 dan jaringan ke-28 dirinya musim ini.
Pemain Tottenham, Destiny Udogie tertampan bola ke gawang sendiri untuk melengkapkan kemenangan Liverpool dan kekalahan ke-19 pasukannya dalam aksi liga musim ini.
Liverpool yang kini menyamai rekod gelaran liga Manchester United, mengumpul 82 mata daripada 34 perlawanan, meninggalkan Arsenal di tangga kedua pada 67 mata. – Berita Harian