KUALA LUMPUR: Liga Super bakal kehilangan ratusan ribu penyokong setia apabila tiga pasukan lagenda membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perak FC dan terbaharu Sri Pahang FC secara rasminya sudah tidak lagi akan bersaing dalam kancah liga utama musim depan.
Situasi ini bukan sekadar mengejutkan, malah disifatkan sebagai sejarah hitam bola sepak negara oleh pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar, yang menyifatkan kegagalan mengekalkan pasukan tradisi dalam saingan utama adalah satu tamparan besar buat kredibiliti Liga Malaysia (Liga-M).
“Ini sangat kritikal dan menyedihkan. Ketika liga di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand semakin berkembang, kita pula seolah-olah berundur ke belakang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Sri Pahang, KDA FC dan Perak FC bukan sekadar pasukan biasa, malah dianggap institusi bola sepak dengan sejarah panjang, penyokong fanatik serta nilai komersial yang tinggi sejak era semi-pro lagi.
“Bayangkan saja bila tiga nama besar ini tiada iaitu Sri Pahang, Kedah, Perak. Itu bukan sahaja hilangnya saingan, tapi juga hilangnya identiti bola sepak Malaysia,” tegas Azlan.
Tambahnya, ketiadaan pasukan tradisi ini dalam Liga Super akan menghakis minat penyokong tegar untuk terus mengikuti saingan domestik.
“Saya sudah lihat ramai penyokong hilang minat. Mereka tidak mahu ke stadium lagi, tidak menonton di TV pun. Ini bukan soal kalah menang, tapi soal ‘jiwa’ bola sepak kita yang kian mati,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau turut menyelar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang disifatkan gagal mengurus liga secara profesional, sehingga pasukan besar seperti ini tidak mampu bertahan.
“Sepatutnya ada pelan jangka panjang, ada penstrukturan semula kewangan kelab, bukan biar mati perlahan-lahan. Apa fungsi MFL kalau pasukan seperti Kedah dan Perak boleh hilang begitu saja?” soalnya.
“Jangan terkejut kalau 2-3 tahun lagi, kita tengok liga ini kosong. Bukan sebab tiada pasukan, tapi kerana penyokong sudah hilang harapan dan kecewa,” katanya.
Sebelum itu, Sri Pahang FC akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga M selepas sah tidak akan bertanding dalam kancah profesional bola sepak negara itu bagi musim baharu.
Mengikut rekod, KDA FC dan Perak pula tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada MFL. – Harian Metro