Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KUALA NERUS: TDM Berhad bersama anak syarikatnya dalam sektor penjagaan kesihatan, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare) Sdn. Bhd, secara rasmi telah memeterai Perjanjian Penajaan Tahun Kedua bersama Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFC) bagi musim Liga Malaysia 2025/2026.
TDM dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, penajaan ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 yang merangkumi sumbangan tunai RM300,000 daripada TDM dan RM200,000 daripada KMI Healthcare. Inisiatif ini menandakan kesinambungan komitmen Kumpulan dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak serta penglibatan belia di Negeri Terengganu.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Hotel Raia dan Convention Centre di sini semalam, disaksikan Pengerusi TFC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

bergambar bersama penaja-penaja TFC pada
Majlis menandatangani MoU di Hotel Raia, Kuala Nerus, semalam.
Bagi pihak TDM, perjanjian telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin.
Turut hadir sebagai penaja TFC, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, bersama barisan ketua anak-anak Syarikat Kumpulan Terengganu Inc. yang menaja.
Dalam ucapannya, Hishamuddin berkata, kerjasama strategik dengan entiti korporat amat bertepatan untuk memastikan kelestarian pasukan di peringkat profesional.
“Ini sejajar dengan visi kami untuk menjadikan TFC sebagai pusat kecemerlangan bola sepak yang bukan hanya kompetitif tetapi juga mampu memberi impak positif kepada komuniti. Dengan sokongan pihak yang terlibat, TFC akan lebih berdaya saing di peringkat kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama ini merupakan manifestasi komitmen korporat TDM dan KMI Healthcare dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak dan pemerkasaan belia di negeri Terengganu, seiring dengan nilai teras kumpulan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan strategik dan berimpak tinggi.
Jelasnya, penajaan ini memperkukuh semangat TDM untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan modal insan melalui sukan.
“TDM percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memperkukuh penjenamaan korporat, malah membawa nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sukan tempatan,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk kemasyarakatan, Kumpulan TDM turut menekankan kepentingan sinergi antara korporat dan sukan.
“Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu, kami percaya bahawa kejayaan TFC adalah kejayaan kita bersama. Ini merupakan bukti komitmen berterusan kami dalam memacu kecemerlangan sukan tanah air, khususnya dalam pembangunan bola sepak negeri Terengganu.
“Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga merangkumi potensi program pembangunan bersama yang memberi impak jangka panjang kepada pasukan dan komuniti,” katanya.
Beliau menambah, TDM dan KMI Healthcare yakin sokongan ini adalah permulaan kepada satu perjalanan jangka panjang dalam memartabatkan bola sepak negeri Terengganu.
“Kerjasama erat antara sektor korporat, pasukan bola sepak dan komuniti setempat, TFC diyakini mampu melakar lebih banyak kejayaan dan terus diiktiraf sebagai salah satu pasukan paling disegani di Malaysia,” ujarnya. – Suara Timur