PETALING JAYA: Terengganu memulakan kempen Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan dramatik 25-24 ke atas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Padang Astaka, di sini, petang semalam.
Pasukan Pantai Timur itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras selepas ketinggalan seawal minit kelima hasil sepakan penalti pemain import Kuala Lumpur, Qio Tuilekutu.
Terengganu bangkit seminit kemudian menerusi try oleh Muhammad Faizal Md Tahir sebelum beliau menyempurnakan sepakan conversion untuk meletakkan pasukannya di depan 7-3.
Kuala Lumpur kembali menguasai permainan dan berjaya mendahului 13-7 pada minit ke-21 selepas memperoleh try berserta conversion hasil aksi bertenaga barisan pemain muda mereka.

Muhammad Faizal sekali lagi menjadi penyumbang mata penting buat Terengganu menerusi sepakan penalti sebelum pasukan pelawat menambah tujuh mata lagi untuk menutup babak pertama dengan kelebihan tipis 17-16.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal memanfaatkan peluang yang terhidang. Kuala Lumpur kemudian terpaksa beraksi dengan 14 pemain selepas pemain import gantian, Waisake Maseikula dilayangkan kad kuning pada minit ke-46.
Terengganu bagaimanapun gagal mengambil kesempatan sepenuhnya apabila hanya menambah tiga mata menerusi sepakan penalti pada minit ke-56.
Tuan rumah hampir mencuri kemenangan selepas berjaya kembali mendahului di penghujung permainan hasil sepakan penalti dan try, namun Danish Rafiqin Abdul Qayyum muncul wira Terengganu apabila menyempurnakan try kemenangan pada saat akhir untuk memastikan kemenangan tipis 25-24 memihak pelawat.
Terengganu selepas ini dijadual melayan kunjungan Kelantan pada 16 Mei bagi aksi kedua peringkat kumpulan. – Suara Timur
