Negeri

Selepek Sahur Payang Walk lokasi pilihan moreh

KUALA TERENGGANU: Tapak moreh di Selepek Sahur Payang Walk di sini menjadi salah satu lokasi menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti makan pada waktu malam pada bulan Ramadan ini.

Pengunjung di tapak moreh itu dapat membeli pelbagai jenis makanan dan minuman sebelum makan secara santai duduk beralaskan tikar.

Malah aktiviti moreh itu juga menarik tumpuan dalam kalangan bukan Islam untuk tidak ketinggalan memeriahkan aktiviti moreh.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang duduk sambil makan di atas tikar di Selepek Sahur Payang Walk di Kuala Terengganu, semalam.



Salah seorang pengunjung, Mohd Amir Safwan, 38, dari Marang berkata, dia teruja membawa keluarga untuk bersama-sama pengunjung lain menikmati beberapa jenis makanan yang dibeli di tapak moreh ini.

“Anak-anak dan isteri saya teruja dapat makan secara selepek di atas tikar di tepi Sungai Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di Selepek Sahur Payang Walk di sini, semalam.

Selepek Sahur Payang Walk yang mempunyai lebih 50 gerai menyediakan ratusan makanan dan minuman dibuka dari pukul 9.30 malam hingga 2.30 pagi pada sepanjang bulan Ramadan ini.

Seorang pengunjung berketurunan Cina, Saw Shen Yuan,  25, berkata, dia mengajak beberapa rakan sekerja makan untuk bersama-sama mendapatkan pengalaman moreh bersama pengunjung-pengunjung lain.

“Saya dan rakan-rakan seronok dapat makan dan minum secara beramai-ramai dalam suasana tenang dan damai.

“Kalau ada kesempatan saya ingin berkunjung lagi di Selepek Sahur Payang Walk kerana masih banyak menu-menu menarik termasuk tradisional yang tidak sempat dimakan,” ujarnya. – Utusan

Related Posts