Negeri

Ibu, anak maut kereta terjunam dalam gaung

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Dua termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun tujuh bulan, maut  manakala neneknya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam kedalam gaung.

Kemalangan  berlaku kira-kira pukul 6.24 petang semalam di jalan kilang kelapa sawit Felda Kerteh Dua dan Tiga, di sini.

Dalam kejadian itu mangsa, Nur Suhailla Azman, 25, tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan badan.

Sementara itu, bayi bongsunya, Nur Alisya Humaira Mohamad Shahrool Nizam, turut disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Dalam kemalangan itu juga, nenek mangsa, Timah Mohammad, 73 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Tiga lagi mangsa, Mohammad Sharol Nizam Hamzah, 32, Ruzaimi Abd Rashid, 48, dan anak sulung mangsa, Nur Aisya Humaira Mohamad Shahrool Nizam, 3 tahun, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kereta dinaiki enam sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Bandar Dungun ke rumah mereka di Felda Kerteh 4.

Sejurus tiba dilokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Mohammad Sharol Nizam dipercayai  terbabas ke kiri jalan ketika hujan sebelum terjunam dan terbalik ke dalam gaung sedalam 3 meter.

Kesemua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk dan berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka.

Nur Alisya Humaira yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Ketengah Jaya disahkan meninggal dunia pukul 7.16 petang akibat kecederaan parah pada bahagian anggota badan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Maizura berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Related Posts