KUALA TERENGGANU: Ribut berserta hujan batu yang melanda Kampung Kebor Air, di sini hari ini mengakibatkan beberapa rumah penduduk rosak, termasuk dihempap pokok tumbang.
Ismail Embong, 79, berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, dia dan adiknya, Lijah, 72, terselamat selepas sempat masuk ke dalam rumah.
“Ketika itu saya dan adik berada di luar rumah, bersembang dengan jiran sebelum dikejutkan dengan ribut yang datang sekali dengan hujan air batu.
“Kami masuk ke dalam rumah dan ketika berada di dapur, tiba-tiba saya dengar bunyi kuat di beranda rumah dan mendapati sebatang pokok mempelam tumbang. Mujurlah kami tidak berada di situ ketika itu,” katanya memaklumkan rumah itu turut didiami bersama seorang lagi adiknya, Mamat, 75.
Ismail berkata, selain rosak struktur rumah, rumah berusia lebih 50 tahun itu juga rosak kira-kira 30 keping atap dengan ada antaranya diterbangkan angin.
Warga emas itu yang menganggarkan kerugian ribuan ringgit berharap ada pihak sudi bantu membaiki kediaman mereka.
Seorang lagi mangsa, Zabidah Omar, 65, berkata, dia sedang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di sini apabila anaknya menghubungi memaklumkan atap rumah mereka diterbangkan angin.
Katanya, dia bergegas pulang dan mendapati rumah sudah dipenuhi air, manakala terdapat serpihan atap yang pecah bertaburan di tanah. – Berita Harian