Negara

Wanita potong kemaluan teman lelaki

ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 10.45 pagi Rabu.

“Pengadu seorang lelaki tempatan memaklumkan kenalannya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kemaluan dan tangan kiri selepas diserang teman wanitanya di Kampung Lokan, Gelang Patah.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan suspek, seorang wanita Bangladesh berusia 34 tahun, kira-kira jam 12.15 tengah hari pada hari yang sama.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah.

“Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan cemburu.

“Suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di Bangladesh walaupun telah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengannya.

“Suspek kini direman lima hari bermula Khamis hingga 13 Oktober bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Sinar Harian

Related Posts