Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pemeriksaan ke atas ‘kapal hantu’ yang hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, Perairan Terengganu, di sini, tidak menemukan sebarang bahan kimia berbahaya dan kru dalam kapal itu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah, berkata, seramai 17 anggota dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Bomba dan Penyelamat dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia telah masuk ke kapal tiga tingkat itu kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
“Pada peringkat awal pemeriksaan, terdapat bau di dalam kapal itu, namun selepas pemeriksaan dibuat, bau itu adalah bau bahan mentah yang telah rosak daripada peti sejuk.

Bercakap kepada media, Abdul Halim berkata, pasukan Hazmat telah menggunakan dua alat pengesanan berteknologi tinggi iaitu ‘four gas meter’ dan ‘gasmet’. Hasil pemeriksaan di seluruh kapal itu berada dalam keadaan normal dan tiada bahan kimia berbahaya ditemui.
“Pemeriksaan selama satu jam di atas kapal berukuran 53.7 meter panjang dan 10 meter lebar itu juga tidak menemui sebarang mangsa,” katanya.
Menurutnya, tiada kru yang dikesan berada atas kapal dan kapal ini akan diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut dan kita akan sentiasa melakukan rondaan untuk memastikan kapal itu tidak diceroboh oleh mana-mana pihak.
Terdahulu, media melaporkan ‘kapal hantu’ yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, di Perairan Terengganu pada Selasa, telah tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini, selepas ditunda lebih dua hari, sejauh 140 batu nautika.
Kapal tanpa kru itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di pada kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, Johor pada 6 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran kapal tangki itu. – Suara Timur