KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan agensi media atas talian, yang disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Selain itu, turut ditahan reman seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta wanita warga asing.
Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos ini, dua lelaki dan seorang wanita direman dua hari sehingga 18 Ogos ini, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga esok.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Sumber berkata, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia antara 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
“Pegawai kanan perisikan tentera terbabit dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barangan lain dari negara jiran membabitkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil risikan selama setahun itu mendapati sindiket berkenaan dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan.
Katanya, rangkaian pembabitan pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket berkenaan adalah besar serta kompleks.
“Dalam operasi pada Rabu itu, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, SPRM melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi oleh pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Soho. – Harian Metro