BENGALURU: Harga emas merosot pada Rabu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi isyarat bahawa tarif ke atas China akan dikurangkan dan beliau tidak bercadang untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.
Harga emas spot jatuh 2.1 peratus kepada AS$3,310.29 seauns (RM466.578 segram) pada 0811 GMT, selepas mencapai rekod tertinggi AS$3,500.05 (RM493.32) dalam sesi sebelumnya. Niaga hadapan emas AS turun 2.9 peratus kepada AS$3,321.30.
“Kenyataan Presiden Trump, termasuk pendiriannya yang lebih lembut terhadap pengerusi Fed serta komennya mengenai China, meredakan kebimbangan pasaran dan menekan harga logam kuning itu,” kata penganalisis UBS, Giovanni Staunovo.
“Kami terus menjangkakan harga emas akan meningkat kepada AS$3,500 seauns dalam beberapa bulan akan datang,” kata Staunovo.
Presiden Trump menarik balik ancamannya untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell selepas beberapa hari kritikan yang semakin meningkat terhadap ketua bank pusat itu kerana tidak menurunkan kadar faedah.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa beliau akan mencapai kemajuan dengan China yang akan mengurangkan tarif import mereka secara ketara, tetapi turut memberi amaran bahawa “jika mereka tidak membuat perjanjian, kita akan tetapkan perjanjian.”
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa memotong unjuran pertumbuhan AS dan global tahun ini, dengan dasar tarif Trump menjadi punca utama penurunan itu.
Emas, yang secara tradisinya dianggap sebagai lindung nilai terhadap ketidakstabilan global, telah memecahkan pelbagai rekod tertinggi dan meningkat lebih 26 peratus sejak awal 2025. – Berita Harian