SUBANG JAYA: Anggota polis, Sarjan Mohd Fadhil Mohamed @ Ahadiah, 40, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Rabu lalu, akhirnya ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pada jam 1.45 pagi tadi, anggota Balai Polis USJ 8 mengesan pergerakan kenderaan Mohd Fadhil masuk ke kuarters balai berkenaan.
Menurutnya, mereka kemudian menghubungi pegawai penyiasat bagi memaklumkan keberadaan anggota polis berkenaan.
Pegawai penyiasat kemudian membawa Mohd Fadhil ke Balai Polis USJ 8, seterusnya menghubungi isteri anggota itu untuk datang ke balai dan membuat laporan polis.
“Dia berada dalam keadaan selamat dan sihat. Sepanjang tempoh menghilangkan diri, dia berada di masjid sekitar Morib di Banting Selangor dan sekitar Putra Heights di Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Mohd Fadhil dilaporkan hilang dengan kali terakhir dilihat pada Rabu lalu ketika meninggalkan rumah dengan memandu Proton Saga hitam.
Laporan kehilangannya dibuat jam 9.15 malam Khamis selepas anggota polis itu gagal dikesan ahli keluarga. – Berita Harian