KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk bertanding menggunakan simbol parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada malam ini selepas mengambil kira perkembangan semasa dalam gabungan berkenaan.
“Oleh kerana Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PPN telah ditangguhkan bagi tempoh yang tidak pasti dan Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan pembahagian kerusi PN, Bersatu akan meletakkan calon-calon parti bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dan semua calon akan menggunakan simbol Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata MPT Bersatu turut mengambil maklum hasrat beberapa parti politik lain yang ingin menggunakan simbol parti itu pada PRN Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, katanya, MPT bersetuju memberikan mandat kepada Presiden Bersatu untuk memberi kebenaran kepada calon daripada parti lain menggunakan simbol parti tersebut.
Muhyiddin menambah, Bersatu kekal komited sebagai sebuah parti yang mendukung nilai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.
Beliau turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan supaya memberikan sokongan kepada calon-calon Bersatu pada PRN akan datang. – Awani
