Negara Politik

‘PAS for All’ perlu diperkasa semula – Mohd Amar

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyarankan agar agenda ‘PAS for All’ diperkasakan semula sebagai usaha memperkukuh keharmonian kaum dan memperluas sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.

Katanya, kekuatan PAS dalam aspek perpaduan kaum masih kurang diketahui masyarakat luar dan perlu diperjelas menerusi pendekatan yang lebih menyeluruh.

“Saya menyarankan agar agenda ‘PAS for All’ yang diperkenalkan sebelum ini perlu diperkasakan semula dalam pelaksanaannya,” tegas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-37 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), di sini.

Katanya, PAS juga perlu lebih agresif dalam menyantuni masyarakat Cina serta dilihat benar-benar bersungguh membela nasib mereka.

Menurut beliau, kelemahan dalam aspek ini mungkin menjadi antara faktor kekalahan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. – Harakahdaily

Related Posts