Negara

‘Haramkan segera penjualan vape di seluruh negara’ – MCPF

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendesak pihak berwajib pada peringkat Persekutuan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin, sekali gus mencontohi Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani mengambil langkah proaktif awal.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob, berkata ancaman penagihan vape lebih memudaratkan berbanding rokok tembakau, memandangkan rokok elektronik mempunyai bahan kimia toksik mengakibatkan ketagihan nikotin yang boleh merosakkan paru-paru serta otak terutama dalam kalangan remaja.

Katanya, jika dibiarkan dan tidak ditangani lebih awal, dibimbangi ia semakin melarat seperti isu penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kekal musuh nombor satu negara sejak 1980-an.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah menegaskan berbilion ringgit dibelanjakan untuk memerangi penyalahgunaan dadah, namun ia masih menjadi ancaman besar kepada negara.

“Penagihan dan penyalahgunaan dadah bermula daripada tabiat merokok dan kini ia merebak dalam penggunaan vape. Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi perhatian utama terhadap saranan dan desakan pelbagai pihak supaya mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ayub berkata, MCPF juga mencadangkan KKM memperketatkan kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Selain itu, pemantauan berkala perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform dalam talian kepada golongan belia.

“Kita juga menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau serta bertindak secara bersepadu dalam menghentikan pembekalan dan penjualan rokok seludup.

“Keberadaan rokok seludup dalam pasaran memberi persepsi negatif kepada pihak berkuasa dan kerajaan dalam menangani gejala ini,” katanya. – Berita Harian

Related Posts