GEORGETOWN: Gegaran akibat gempa bumi sederhana yang melanda Utara Sumatera, Indonesia hari ini turut dirasai penduduk yang tinggal di Pulau Pinang, terutama di kawasan berhampiran laut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung gegaran, dipercayai susulan gempa bumi yang berlaku di negara jiran itu.
“Setakat ini pihak bomba terima dua panggilan telefon daripada orang awam di kawasan perumahan di Blok 1, Taman Selatan di Jelutong dan sebuah hotel di George Town pada 5.15 petang ini yang memaklumkan berlaku gegaran di kawasan perumahan mereka.
“Pihak bomba telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut dan komander operasi melaporkan pemantauan di lokasi dalam keadaan selamat, serta tiada berlaku kerosakan struktur di bangunan terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut membuat pemantauan dari semasa ke semasa, bagi memastikan tiada premis atau bangunan yang terjejas akibat gegaran disebabkan gempa bumi tersebut.
Sementara itu, penduduk Apartment Desa Baiduri di Farlim, di sini Fatin Syafiqah Ahmad Rozi, 32, berkata, dia dan keluarganya yang tinggal di tingkat 10 merasai gegaran beberapa minit itu yang awalnya disangka akibat pening kepala.
Bagaimanapun, katanya, keadaan sama turut dirasai ahli keluarga yang lain, sebelum jirannya datang ke rumah bertanyakan sekiranya berlaku gegaran atau terdapat projek pembinaan di kawasan perumahan mereka.
“Gegaran itu rasa dua kali tapi beberapa minit sahaja, kami tak tahu lagi kata ada gempa bumi di Indonesia dan jiran sudah ajak turun sebab takut apa-apa jadi, masa itu nampak beberapa jiran lain keluar rumah,” katanya.
Seorang penduduk di sebuah apartmen di Jelutong, Nur Hafizah Mustafa, 42, berkata, gegaran itu agak kuat sehingga boleh nampak beberapa barangan dalam rumah bergerak dan dia terus masuk ke bilik untuk melihat anak lelakinya berusia tujuh tahun sedang tidur.
Kemudian saya keluar rumah dan nampak beberapa jiran saling bertanya apa yang berlaku sehingga berlaku gegaran tersebut, waktu itu masing-masing bimbang sesuatu terjadi sebelum tahu yang terdapat gempa bumi di Indonesia,” katanya yang tinggal di tingkat 15 apartmen itu.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan satu gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Utara Sumatera, Indonesia pada 4.57 petang tadi
Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami kepada negara. – Metro