GAZA: Seramai 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), lapan termasuk Zizi Kirana disahkan ditahan tentera Israel setakat jam 6 pagi waktu Malaysia.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut ialah seramai 23 orang.
Pada jam 2.03 pagi waktu Malaysia, SNCC mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Kementerian Luar Negeri Israel dalam satu kenyataan telah menuduh konvoi tersebut adalah satu tindakan provokasi dan mengarahkan mereka mengubah haluan.
Israel juga mendakwa mereka mahu menghantar bantuan itu sendiri terus kepada Gaza.
Kenyataan itu menambah Tentera Laut Israel telah menghubungi GSF dan menggesa supaya ia mengubah haluan, dengan memberi amaran bahawa konvoi sedang menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan laut yang sah.
Beberapa sukarelawan yang sempat menghantar mesej menerusi media sosial memberitahu tentera Israel telah menggunakan meriam air dan menyembur kearah bot mereka.
Turut ditahan ialah aktivis terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, dan disahkan dibawa ke sebuah pelabuhan Israel. – Sinar Harian