Home NegaraWanita dari Terengganu miliki ‘darah emas’

Wanita dari Terengganu miliki ‘darah emas’

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Memiliki kumpulan darah paling sukar ditemui di dunia dan menjadi satu-satu pemilik darah jenis Rh null di Malaysia.

Itu keistimewaan dan ‘anugerah’ dimiliki seorang wanita dari Terengganu apabila dikenal pasti memiliki jenis darah Rh null atau dikenali The Golden Blood.

Uniknya, darah jenis itu hanya dimiliki oleh seorang dalam enam juta penduduk dan sehinga kini dipercayai hanya 50 individu sahaja yang memilikinya di seluruh dunia.

Meskipun memilih untuk tidak dikenali umum namun menerusi kerjasama Pusat Darah Negara (PDN), pemilik darah emas berusia 29 tahun itu sudi berkongsi serba sedikit mengenai ‘anugerah’ itu dengan Harian Metro.

banner

Menurutnya, pengesahan mengenai jenis kumpulan darah itu hanya diketahuinya pada tahun 2016 iaitu selepas menderma darah.

Akuinya, memang sukar untuk mempercayai dan menerima hakikat itu pada mulanya kerana dia adalah satu-satunya individu dengan kumpulan darah berkenaan di negara ini.

“Namun selepas doktor memberikan penjelasan mengenai kepentingan dan keunikan kumpulan darah ini, saya mula reda serta memahami tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Sejak itu, saya sentiasa menjaga kesihatan diri dengan lebih teliti kerana sedar risiko yang ada,” katanya.

Dia berkata, pada tahun 2024, berlaku kejadian yang tidak diingini apabila dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Walaupun dalam keadaan kesakitan tetapi perkara pertama yang dimaklumkan kepada orang awam (yang datang membantu) ialah mengenai keadaan dirinya yang memiliki jenis darah sangat jarang ditemui itu.

“Maklumat berkenaan penting untuk disampaikan bagi memastikan saya mendapat rawatan yang tepat. Jujurnya, di sebalik keistimewaan memiliki darah emas ini, saya juga sedar akan risikonya.

“Contohnya apabila berkahwin dan hamil kelak, keadaan juga perlu diuruskan dengan lebih rapi serta pemantauan perubatan yang teliti,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut berdoa supaya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada sebarang penyakit kritikal pada masa hadapan.

Ini memandangkan kesukaran untuk mendapatkan darah yang sepadan kerana dia satu-satunya di negara ini memiliki darah jenis berkenaan.

“Apapun saya berharap semoga lebih ramai rakyat Malaysia tampil menderma darah kerana melalui pendermaan darahlah saya dapat mengetahui kumpulan darah sendiri.

“Semoga masyarakat dapat memahami betapa pentingnya peranan penderma darah dalam menyelamatkan nyawa,” katanya yang turut menderma darah untuk disimpan di PDN.

Difahamkan, darah jenis The Golden Blood pertama kali ditemui pada tahun 1961 pada seorang wanita orang berasal dari Australia.

Darah jenis ini paling universal dan dianggap penyelamat nyawa kerana tidak mengandungi antigen.

Sifat darah Rh null yang neutral juga mengurangkan risiko terjadinya penolakan oleh penerima semasa proses transfusi.

Ketika ini, darah jenis The Golden Blood dipercayai dimiliki kira-kira 50 orang di seluruh dunia dan daripada jumlah itu, hanya 10 orang bertindak sebagai penderma aktif. – Metro

Tinggalkan komen