Negara

Agihan wang ihsan RM30 juta kepada pesawah dijangka selesai pertengahan April – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA: Pengagihan wang ihsan sebanyak RM30 juta kepada 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara, dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan bulan ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata proses itu mengambil masa sedikit berikutan perlu mematuhi peraturan kewangan serta tatacara dalaman syarikat.

“Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.

“Maka, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya.

“Ia seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan pihak syarikat, terutama membabitkan dana berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad sekali gus memaklumkan dana RM30 juta itu telah diterima sepenuhnya daripada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 28 Mac lalu.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) amat memahami kegusaran serta harapan tinggi pesawah, dan kementerian komited sepenuhnya dalam memastikan bantuan itu sampai kepada semua yang berhak.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan BERNAS bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin. – Berita Harian

Related Posts