Negara

Ahmad Shabery tamat kontrak sebagai Pengerusi Felda

SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan penamatan kontrak Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa pada Isnin.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda berkata, Ahmad Shabery telah dilantik menerajui Felda sejak dua tahun lalu, dan sepanjang tempoh tersebut, beliau dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh semula ekosistem organisasi itu bersama anak-anak syarikatnya.

“Terutama dalam mempercepatkan proses penyahsenaraian FGV Holdings Berhad, sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta meningkatkan imej dan prestij Felda.

“Pendekatan beliau diterjemahkan melalui gagasan ‘Segalanya Felda’ yang kini menjadi teras penyatuan organisasi dan komuniti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, Felda memaklumkan bahawa tugas rasmi terakhir Ahmad Shabery adalah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Felda pada jam 2.30 petang, hari ini.

“Pengurusan dan seluruh warga Felda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa, bakti dan kepimpinan Datuk Seri sepanjang memegang amanah sebagai Pengerusi Felda,” katanya.


Untuk rekod, Ahmad Shabery dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Julai 2023. – Sinar Harian

Related Posts