Negara

Emas 999.9 cecah RM500 satu gram

SHAH ALAM: Sesetengah kedai di negara ini sudah mula menawarkan bayaran RM500 segram pada Sabtu untuk emas 999.9 walaupun kadar semasanya belum mencapai harga tersebut di pasaran.

Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid turut menjangkakan harga logam berharga berkenaan akan terus meningkat mencecah lebih RM500 hingga RM600 pada tahun ini.

Menurutnya, lonjakan harga emas bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila melihat kepada situasi ekonomi global tidak menentu dan peningkatan permintaan terhadap barangan itu.

“Sebenarnya masih belum lagi mencapai RM500 segram tetapi sudah ada sesetengah kedai yang mungkin sudah menjual pada harga tersebut.

“Jadi, tidak mustahil harga emas akan melepasi paras RM500 segram walaupun ada kebarangkalian berlaku penurunan, namun secara keseluruhan harga dijangka kekal tinggi dalam masa terdekat.

“Keadaan ini berlaku disebabkan oleh tarif dan tindak balas China serta negara lain, ketegangan geopolitik dan kejatuhan nilai wang menjadikan permintaan terhadap emas semakin tinggi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurutnya, mereka yang membeli emas pada harga rendah sebelum ini berpeluang memperoleh keuntungan sekiranya menjual semula ketika harga melonjak.

Mengulas mengenai trend semasa, Nik Mohd Haniff berkata, permintaan terhadap emas sudah mula meningkat sejak sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila semakin ramai mula membeli sama ada dalam bentuk barang kemas atau jongkong emas.


“Pergerakan harga memang agak sukar diramal, namun boleh dikatakan per-mintaan sejak sebelum raya lagi memang tinggi sebab ramai mula melabur dan membeli, tidak kisah dalam bentuk barang kemas mahupun jongkong,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts