Negara

Negara rugi RM823.88 juta

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh empat tahun sehingga tahun lalu, Malaysia mengalami kerugian berjumlah RM823.88 juta akibat pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sebanyak 515 kes pencerobohan nelayan asing direkodkan dari 2020 hingga 2024.

Menurutnya, ia membabitkan nilai kerugian RM823.88 juta berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“DOF sentiasa mengukuhkan kerjasama dengan APMM dan PPM dengan melaksanakan penguatkuasaan di laut termasuk melalui konsep kerjasama antara agensi menerusi Ops Naga, Ops Gelora, ‘Patkor Optima’ dan ‘Mardof’,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memberi komitmen dengan instrumen antarabangsa berkaitan isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).

Katanya, ia dibuat dengan kaedah bergiat aktif mengukuhkan kerjasama serantau melalui platform seperti The Asean Combating IUU Fishing (AN-IUU) dan The Regional Plan of Action to Prevent, Deter and Eliminate Illegal, Unreported and Unregulated Fishing (RPOA-IUU).

“Kerjasama ini memberi impak yang positif dengan memastikan tanggungjawab setiap negara selaku ‘Flag State’ (Negara Bendera) dan ‘Coastal State’ (Negara Pantai) dipatuhi dan menghormati perundangan masing-masing,” katanya.

Katanya, DOF mengesyorkan penyenaraian bot nelayan yang terbabit dalam aktiviti IUU Fishing melalui Jawatankuasa Kerja IUU dan Jawatankuasa Induk IUU bagi bot nelayan asing mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 16 Akta Perikanan 1985 [Akta 317]. – Harian Metro

Related Posts