Politik

Ulama Kelantan harap pentadbiran Anwar kekal

PETALING JAYA: Seorang ulama terkenal berharap pentadbiran Anwar Ibrahim dapat dikekalkan yang menurutnya bagi mengelakkan kesan kepada perkembangan Islam dan ekonomi.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah menyuarakan harapannya itu ketika ada pihak tertentu terutama pembangkang berusaha menjatuhkan perdana menteri menerusi himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai depan.

Menurut penasihat Kesatuan Pondok Kelantan itu, perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.

“Kita di Malaysia ini lima tahun satu kerajaan, (kadang-kala) dua atau setahun satu kerajaan.

“Dasar berubah menyebabkan pondok pun lemah dan malap. Ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” katanya dalam ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.

Menurut Wazir, kehadiran ramai dalam program keagamaan itu menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak penghujung 2022.

“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya yang turut mengimbau perkenalannya dengan Anwar yang telah lama wujud.

Menurutnya, antara bantuan paling tidak boleh dilupakan adalah sumbangan kewangan ketika beliau berada di Pakistan selama 13 tahun. – FMT

Related Posts