KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pencalonan pemilihan parti itu berakhir 11.59 malam tadi.
Bagaimanapun menurut sumber, jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dengan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing.
Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 berlangsung selama dua hari bermula Khamis lepas secara dalam talian.
Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru. – Berita Harian