MARANG: Pas mengemukakan dua nama bagi jawatan Menteri Besar Perlis untuk menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan secara sukarela atas faktor kesihatan semalam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dua nama calon Menteri Besar daripada parti itu diserahkan untuk dipertimbangkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Katanya, Pas masih menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis walaupun tiga wakil rakyatnya digugurkan daripada keahlian.
“Kita masih mempunyai enam kerusi dan Bersatu hanya ada lima kerusi, kita layak untuk mengemukakan calon Menteri Besar,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa semalam.
Pada Rabu lalu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN yang digugurkan sebagai ahli Pas adalah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, Mohd Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar bukan disebabkan tindakan lapan ADUN, termasuk lima daripada Bersatu menandatangani SD dalam usaha menukar Menteri Besar Perlis, sebaliknya disebabkan faktor kesihatan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, parti itu sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Perlis.
“Kita sudah bersiap siaga termasuk menghadapi pilihan raya di tiga DUN yang keahlian wakil rakyat daripada parti itu tergugur atau PRK,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut ditanya bersabit cadangan bekas ADUN Pas yang dilucutkan jawatan mengemukakan rayuan.
Jelasnya, tiga bekas ADUN berkenaan melakukan kesalahan besar kepada parti dan didapati melanggar bai’ah.
“Mereka boleh mengemukakan rayuan, tetapi terpulang kepada kita untuk menerima atau sebaliknya,” ujarnya.
