Negeri Politik

MB Terengganu nafi tarik balik kenyataan isu TCO

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan bahawa beliau menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini berhubung status beliau di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO).

Naib Presiden Pas itu juga menafikan sekeras-kerasnya hantaran palsu yang tular di media sosial ketika ini, kononnya beliau mengeluarkan kenyataan susulan berhubung perkara itu.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razak berkata, dakwaan itu merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai pemimpin negeri.

“Beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau ‘posting’ seperti yang telah disiarkan oleh laman media sosial berkenaan.

“Kapsyen yang digunakan juga ternyata satu fitnah dan kami menggesa agar hantaran itu segera ditarik balik,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial rasmi Menteri Besar Terengganu itu pada Sabtu.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa dirinya dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.

Katanya, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk semasa berada di sempadan Sabah dan Sarawak serta memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.

Menurutnya, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah adalah tidak benar. – Sinar Harian

Related Posts