KUALA TERENGGANU: Idea yang lahir daripada pembelajaran di bilik darjah kini diberi ruang untuk diuji menerusi penyelesaian yang lebih dekat dengan keperluan kehidupan seharian apabila 203 penyertaan dihimpunkan menerusi Pertandingan Inovator Muda Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).
Penganjuran sulung hasil kerjasama YDSM, sebuah yayasan amal DiRaja di bawah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) itu membuka peluang kepada murid sekolah di seluruh negeri untuk mengetengahkan idea dan hasil inovasi masing-masing berasaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Lebih daripada sekadar menghasilkan produk untuk pertandingan, murid dicabar membangunkan inovasi berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang boleh memberi manfaat kepada orang kelainan upaya, warga emas selain membantu menangani aspek keselamatan dalam kehidupan seharian.

Pendekatan itu turut menarik penyertaan daripada pelbagai latar sekolah termasuk sekolah beraliran agama, selain sekolah di kawasan luar bandar yang mengambil peluang untuk mengetengahkan hasil inovasi murid mereka.
Antaranya SK Keruak di Hulu Besut dan SK Kuala Berang di Hulu Terengganu, manakala penyertaan SK Pulau Perhentian pula membawa dimensi tersendiri apabila murid dan guru sekolah berkenaan perlu merentasi laut untuk hadir ke pertandingan di PSKT.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, penganjuran itu selari dengan usaha yayasan berkenaan untuk memperkasakan sosioekonomi masyarakat menerusi pelbagai bidang termasuk pendidikan.

“Matlamat utama Yayasan Diraja Sultan Mizan atau YDSM adalah untuk mempertingkatkan, memperkasakan dan memperhebatkan taraf sosio ekonomi penduduk Terengganu khususnya dan Malaysia amnya. Bila kita bercakap tentang sosio ekonomi ia meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan. Dalam sistem pendidikan moden ini kita sedia maklum, pentingnya TVET.
“Peluang sama rata juga sewajarnya diberikan kepada setiap murid-murid sekolah ini tanpa mengira latar belakang sesuatu sekolah mahupun institusi atau aliran sekolah itu di mana kita boleh lihat pada hari ini sekolah beraliran agama juga turut bertanding. Ianya suatu penanda aras yang baik untuk usaha bersama ini,” ujar beliau yang turut hadir menyaksikan pertandingan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim pula berkata, penglibatan juri daripada agensi kementerian berkaitan, sektor industri dan bidang pendidikan memberi pendedahan kepada murid bahawa hasil inovasi mereka turut dinilai daripada sudut keperluan dan aplikasi sebenar.
“Walaupun kategori yang dipertandingkan itu melibatkan produk atau inovasi berkaitan dengan kumpulan sasar orang kelainan upaya, warga emas dan keselamatan dalam kehidupan seharian berteraskan kecerdasan buatan(AI). Ianya masih mampu untuk diketengahkan oleh murid-murid sekolah sekaligus memberi satu penanda aras bagi sektor pendidikan STEM itu sendiri,” ujarnya.
Pertandingan yang berlangsung selama sehari di PSKT itu membabitkan lima kategori dengan kesemua 203 penyertaan dinilai sebelum lima penyertaan terbaik bagi setiap kategori dipilih ke peringkat akhir untuk merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang akan diumumkan pada penghujung tahun ini. – Suara Timur
