KUALA BERANG: Seramai 180 pelajar dari enam sekolah menengah di negeri ini berdaftar sebagai ahli Kelab Pelancongan Pelajar (K3P) pada tahun ini.
Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal berkata, penyertaan pelajar tersebut dalam kelab tersebut dapat memberi pendedahan awal tentang kepentingan industri pelancongan.
Menurutnya, pelajar berkenaan juga diberi didikan dengan aktiviti dan kerja-kerja sukarela.

“Pelajar yang menyertai K3P merupakan duta kecil pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui pada Program Rimba Explorers K3P di Zoo Rimba Razia, Kampung Dusun, di sini, hari ini.
Mazshida berkata, penubuhan K3P di sekolah juga mampu meningkatkan kesedaran pelajar tentang prospek kerjaya dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini, pihak kementerian sedang berusaha menambah baik dan memperkasa modul K3P bagi melahirkan duta kecil pelajar yang lebih baik dan berkualiti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita harap tahun hadapan lebih banyak sekolah berdaftar sebagai K3P di Terengganu. Sepanjang tahun ini pelbagai program kita jalankan termasuk kesenian, kraf tangan, penanaman pokok, petting zoo dan sebagainya,” katanya. – Suara Timur