Negeri

Besut kehilangan besar 15 permata

JERTEH – Nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sahaja meragut nyawa, malah meninggalkan kesan mendalam buat penduduk Besut apabila kehilangan kesemua mangsa yang berasal dari daerah ini.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyifatkan tragedi itu sebagai kehilangan paling menyayat hati buat kawasan yang terkenal melahirkan ramai penuntut cemerlang dalam bidang pendidikan.

“Kami kehilangan 15 permata, anak-anak Besut yang sedang menuntut ilmu untuk menjadi pendidik masa depan,” katanya ketika ditemui di Masjid Hadhari, di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau akan melawat keluarga mangsa dan membantu setakat kemampuan dari pihak Parlimen.

“Saya belum dapat pastikan jumlah sebenar bantuan ini, tetapi insya-ALLAH akan usahakan sedaya mungkin bagi meringankan beban keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Menurut beliau, pengurusan membawa pulang 15 jenazah dari Perak ke Terengganu telah diselaraskan melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen, wakil rakyat, NGO, masjid serta ahli masyarakat.


Seramai 14 mereka disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jerteh seterusnya dikebumikan di kampung masing-masing termasuk seorang jenazah mangsa yang tidak dibawa ke masjid berkenaan. – Sinar Harian



Related Posts